Saturday, December 8, 2007

MEMPERKASA IPT

Memperkasakan IPT ke Arah Institusi Pendidikan Unggul Bertaraf Dunia yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang

Falsafah pendidikan negara meletakkan pendidikan di Malaysia sebagai suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Falsafah pendidikan ini sekiranya diadun, direncam dan disebatikan dengan satu matlamat untuk mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia berupaya membentuk dan membangunkan sebuah masyarakat berilmu. Agenda ini merupakan satu hala tuju yang melibatkan kepentingan nasional dan bertujuan untuk mencapai matlamat pendidikan tinggi iaitu:
  • Meningkatkan standard/mutu pengajaran dan pembelajaran.
  • Meningkatkan kualiti kemahiran pengajaran dan pembelajaran guru/pensyarah.
  • Membantu kejayaan dan kecemerlangan pelajar.
  • Membantu dan menggerakkan masyarakat untuk mencapai matlamat pendidikan negara.
  • Memberi khidmat kepada masyarakat .
  • Membantu dan mengetuai usaha-usaha berterusan masyarakat untuk mencapai matlamat pendidikan negara dalam membentuk masyarakat yang berilmu.

Sesungguhnya meletakkan sasaran besar ke arah memperkasakan pendidikan negara di persada antarabangsa perlu ditangani dengan bijak oleh semua warga menara gading. Kesedaran dan keiltizaman semua pihak berupaya untuk menjana pemikiran positif warga akademia seluruh IPT ke arah mencapai matlamat menjadi universiti unggul bertaraf dunia.

Perkongsian pendapat dan wawasan walau dalam keadaan berbeza pendapat dan arah wawasan dapat diatasi dengan melakukan introspeksi diri (muhasabah) demi menjamin survival kita sebagai warga menara gading yang sentiasa komited, progresif dan berdaya saing untuk meletakkan IPT sebagai institusi pendidikan yang unggul bertaraf dunia.

Kita telah melihat dan merasai bahawa perjuangan pendidikan seluruh IPT telah merentas puluhan tahun. Banyak kenangan pahit dan manis telah kita lalui bersama. Segala susah dan senang dilalui dan ditangani bersama. Komitmen dan iltizam kita untuk mamartabat dan membangunkan IPT dengan semangat slogan keramat “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ akan terus diperkasakan lagi dengan menzahirkan apa yang kita gariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Universiti masing-masing. Falsafah yang terpancar tersebut bukanlah deretan kata retorik kosong semata-mata tetapi bersendikan kepada janji dan keyakinan kita untuk terus memacu pembangunan pendidikan tinggi secara bersepadu dengan menitik beratkan semua aspek kehidupan yang mencakupi elemen fizikal, mental, rohani, emosi dan spiritual. Kerana itulah prinsip-prinsip ke arah pembinaan sosio-fizikal berteraskan masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin ke arah peningkatan kualiti kehidupan dan kemanusiaan akan terus dijadikan agenda utama.

Kesiapsiagaan kita bertitik tolak daripada kesedaran kita untuk bersama-sama untuk bekerja, berusaha dan bergerak sebagai satu pasukan untuk membangunkan bidang pendidikan negara. Seperti yang telah disebut-sebut oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi bahawa adalah malang bagi kita rakyat Malaysia kalau kita tidak pandai menguruskan kejayaan sebelum ini yang menyediakan elemen-elemen ‘hardware’ atau pun prasarana kelas pertama sedangkan mentaliti kita masih lagi mentaliti kelas ketiga.

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk membangunkan elemen-elemen ‘software’ bersifat pemikiran itu menuju ke arah mentaliti/pemikiran kelas pertama bagi mengurus kejayaan prasarana (hardware) kelas pertama yang telah banyak disediakan oleh kerajaan.Untuk memperkasakan seluruh IPT ke arah merealisasikan hasrat menjadikan universiti di Malaysia bertaraf dunia, budaya penyelidikan dan perundingan haruslah dipupuk dan disuburkan di kalangan warga akademik IPT.

Untuk menjadikan semua universiti bertaraf dunia, pihak universiti dengan sokongan semua kakitangannya, perlu lebih berdaya saing untuk membuktikan bahawa hasrat ini adalah realistik dan boleh dicapai. Salah satu caranya ialah dengan menggerakkan budaya menjalankan penyelidikan di kalangan kakitangannya. Geran jangka pendek bernilai ribuan juta yang disediakan oleh pihak kerajaan dan universiti, di samping geran IRPA dan pelbagai geran penyelidikan dan perundingan yang disediakan oleh pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, sektor swasta, badan korporat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan saban tahun merupakan pemangkin dan lambang kesungguhan untuk mencetus dan menggerakkan budaya penyelidikan di kalangan kakitangan universiti.

Sehubungan dengan itu, setiap kakitangan universiti perlu memahami konsep penyelidikan secara holistik yang lebih menjurus ke arah usaha yang cermat dan sistematik untuk menyelesaikan sesuatu isu atau masalah serta berupaya mencipta dan menghasilkan penemuan-penemuan baru. Penyelidikan harus dilaksanakan dengan teratur, tersusun, terpimpin dan munasabah. Hujah-hujah yang dikemukakan perlu tersusun, konsisten, jelas dan beralaskan bukti kajian yang kukuh.

Oleh itu, untuk menjayakan usaha membudayakan penyelidikan di kalangan kakitangan universiti terutamanya kakitangan akademik, pihak universiti perlu banyak melakukan penyelidikan bagi membantu pembangunan dalam segala bidang. Pihak universiti seharusnya memberi ruang yang lebih besar dan mudah kepada semua kakitangan sama ada dari segi bantuan kewangan, insentif yang bersesuaian dan sokongan moral yang berterusan. Sasaran universiti untuk menambah dan menjana pendapatannya akan dapat direalisasikan sekiranya motivasi kakitangan meningkat hasil galakan yang diberikan. Begitu juga hasrat universiti yang mensasarkan keseluruhan daripada staf akademiknya terlibat dalam bidang penyelidikan akan tercapai. Sesungguhnya penyelidikan penting untuk menganalisis kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan serta peluang dan ancaman yang wujud. Kesiapsiagaan setiap kakitangan universiti menjayakan usaha murni tersebut akan menjamin kecemerlangan budaya penyelidikan yang berterusan. Dengan itu hasrat kerajaan untuk membangunkan universiti bertunjangkan “teaching and research university” akan dapat dicapai sekaligus menuju ke arah universiti bertaraf dunia.

Kesusahan dan kesenangan yang kita telah lalui, yang sedang kita lalui mahupun yang bakal kita lalui memerlukan kita mewujudkan satu integrasi yang benar-benar dinamik, seimbang dan menyeluruh. Sebagai sebuah institusi sosial yang berteraskan pendidikan, kita perlu mewujudkan satu iltizam bagi menjamin satu integrasi yang benar-benar dinamik yang merangkumi beberapa aspek seperti integrasi sosial (social integration) yang padu yang mampu menjana integrasi emosi (emotion integration) yang seimbang, integrasi mental (mental integration) yang kukuh, integrasi spiritual/kejiwaan (spiritual integration) yang murni dan suci, integrasi fizikal (physical integration) yang mantap, integrasi kebudayaan (cultural integration) yang berhemah dan integrasi intelektual/kecendikiawanan (intellectual integration) yang tulen. Elemen-elemen integrasi tersebut perlulah sentiasa dipupuk, dijalin dan disuburkan terutamanya dalam era globalisasi ketika ini. Kita tahu bahawa cabaran utama alaf baru ini ialah globalisasi yang merupakan agenda ekonomi baru dunia yang telah meruntuhkan tembok pemisahan sempadan negara menjadi negara tanpa sempadan dan menghasilkan suasana baru dalam sistem perdagangan termasuklah dalam bidang pendidikan. Kita sekarang terdedah kepada persaingan terbuka, cabaran baru dan pasaran terbuka. Dan inilah cabaran yang perlu kita hadapi bersama untuk merealisasikan hasrat kita menjadikan IPT unggul bertaraf dunia. Kita harus mampu untuk mengembangkan hegemoni (pengaruh/dominasi) kita berbanding dengan universiti lain dan membatasi sebarang enigma (kebingungan/kekusutan) yang menghalang kejayaan kita. Aura (perasaan) dan iltizam ini haruslah dikongsi dan diperkasakan bersama.

Kita perlu yakin dan optimis bahawa sekiranya kesemua ciri-ciri tersebut dapat digarap dan dicerakinkan secara bijaksana oleh kita semua dengan secara bersepadu dan seimbang ia mampu untuk melahirkan insan yang benar-benar seimbang mentalnya, jiwanya dan iltizamnya. Inilah yang benar-benar menjamin integrasi dinamik yang menjadi tunjang kekuatan warga IPT secara keseluruhannya.

Akhirnya, kita perlu sentiasa beringat bahawa perjuangan kita belum selesai, untuk menjadi IPT sebagai universiti yang terbilang kita perlulah membuktikan bahawa kita mampu menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan menghasilkan kejayaan-kejayaan yang gemilang yang diiktiraf oleh dunia. Kita perlu meneguhkan digniti (kehormatan) kita sebagai yang terbaik. Jadilah warga kerja yang progresif bukannya yang regresif dan terkasima melihat kejayaan orang lain sedangkan kita mampu menghasilkan yang lebih baik. Kita bukan lagi universiti kelas ketiga dengan mentaliti kelas ketiga sedangkan prasarana kita sudah mencapai kelas pertama. Persepsi ini perlu dihakiskan. Kitalah universiti kelas pertama, dengan warga yang mempunyai mentaliti kelas pertama sesuai dengan prasarana kelas pertama yang kita miliki. Inilah kesusahan dan kesenangan yang akan kita lalui. Jangan jadikan kesusahan yang kita hadapi sebagai penghalang kejayaan kita dan jangan leka dengan kesenangan yang kita perolehi. Sesungguhnya Prof. Dr Hamka telah mencoret indah gagasan-gagasan puitis sebagai pedoman bersama.

MENCARI BAHAGIA BUKANLAH DARI LUAR DIRI, TETAPI DARI DALAM
KEBAHAGIAAN YANG DATANG DARI LUAR KERAPKALI HAMPA, PALSU
ORANG BEGINI KERAPKALI SANGAT GEMBIRA JIKA DIHUJANI RAHMAT,
LUPA BAHAWA HIDUP INI BERPUTAR-PUTAR
KESENANGAN TERLETAK DI ANTARA DUA KESUSAHAN
DAN KESUSAHAN TERLETAK DI ANTARA DUA KESENANGAN
DALAM SENANG ITU TELAH TERSIMPAN KESUSAHAN
DAN DALAM KESUSAHAN ITU TELAH ADA UNSUR KESENANGAN




AMBHA…07/07/07

No comments: